A SKILL FOR LIFE AND A PERFECT EXERCISE

Acquire the ability to survive in water.

“YOUR DECISION TO PROVIDE YOUR CHILD WITH AN EARLY AQUATIC EXPERIENCE IS A GIFT THAT WILL HAVE INFINITE REWARDS”

academydsa@gmail.com: 013 667 3489 , 013 286 5826

Pelajar lulus ujian penyelamat

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 29 Mac - Pelajar tingkatan tiga adalah antara empat pelatih Dolphin Swiming Academy (DSA) di sini lulus ujian penyelamat Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM) yang berlangsung di kolam renang Kompleks Sukan Tan Sri Haji Mohd Said, Seremban 2 hari ini.

Abdul Farhat Deba Abdul Aziz, 15 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Seri Ampangan di sini berkata, dia telah menjalani latihan dan tunjuk ajar di bawah jurulatih DSA selama enam bulan sebelum berjaya memperoleh sijil penyelamat tersebut.

''Untuk menjadi penyelamat kelemasan LSSM ia harus bermula dengan pingat gangsa, perak dan selepas itu emas. Hari ini saya telah lulus ujian untuk medal gangsa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Farhat memberitahu, untuk lulus ujian pingat gangsa, dia perlu berenang sejauh 50 meter di bawah masa 40 saat serta melakukan teknik bantuan pernafasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).

''Saya perlu lulus ujian masa berenang sejauh 300 meter iaitu enam pusingan dengan tidak lebih sembilan minit. Untuk jarak sejauh itu saya berjaya lakukan 6.7 minit," katanya.

Ditanya pemberita mengapa dia mahu menjadi anggota penyelamat, Abdul Farhat memberitahu, ia menjadi kewajipan untuk menyelamat sesiapa sahaja sama ada ketika banjir, mandi di kolam mahupun di laut.

''Kita perlu melihat kursus ini sebagai sumbangan kepada masyarakat. Ia satu kemahiran yang boleh digunakan pada bila-bila masa ketika berlaku kecemasan," jelasnya.

Sementara itu, selain Abdul Farhat, tiga lagi pelatih Mohamad Faiz Rosman, 21, Mohd. Fauzy Alias, 29, dan Ezri Fazrin Ramli, 29, turut lulus ujian pingat gangsa sebagai penyelamat kelemasan LSSM.

Abdul Azim Farhan Abdul Aziz, 21 yang ditemui selepas kejayaan itu menjelaskan, dia telah menjadi penyelamat kelemasan LSSM sejak 2003 dan merupakan calon tunggal lulus sebagai jurulatih penyelamat kelemasan.

''Saya telah menjadi penyelamat kelemasan selama tiga tahun. Memang menjadi harapan saya untuk menjadi jurulatih dan ia berjaya.

''Kejayaan ini akan menjadi pendorong untuk saya melatih lebih ramai pelatih untuk menjadi penyelamat kelemasan," katanya.

Dalam pada itu Ezri yang bekerja sebagai Juruteknik Simulator Penerbangan AirAsia berkata, dia menjadi ahli penyelamat LSSM untuk rasa lebih bertanggungjawab dalam membantu mangsa yang lemas.

Sehubungan itu, Ketua Jurulatih dan Penyelamat Kelemasan DSA , Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, dia gembira kerana berjaya melahirkan empat penyelamat dan seorang jurulatih dari akademi ini yang telah lulus ujian LSSM.

''Saya telah melatih ramai perenang di kolam ini sejak 10 tahun lalu dan hampir, 7,000 perenang dan 28 penyelamat kelemasan telah dilahirkan oleh DSA," katanya.

Tambahnya, dengan perkembangan itu nyata aktiviti di kolam renang ini bukan sahaja berupaya melatih perenang pertandingan tetapi juga meletakkan asas keyakinan diri dan penyelamatan profesional yang akan lahir di kalangan remaja dan golongan dewasa. - UTUSAN MALAYSIA